
Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution berkata, semakin ramai rakyat terutama di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang terkesan akibat banjir dan mereka memerlukan perhatian dengan segera.
“Pada masa sama, melalui media sosial kita melihat bagaimana rakyat bangkit membantu semua yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan.
“Kita juga mendengar bagaimana warga asing turut mempertaruhkan nyawa untuk membantu mereka yang terperangkap akibat air bah yang sangat tinggi.”
Beliau berkata, pihaknya telah meneliti bagaimana tindakan segera kerajaan negeri tersekat akibat koordinasi lemah di peringkat pusat, walaupun aset dan angkatan tentera sudah bersedia.
“Ini menjadi pengajaran kepada kita. Hujan yang tidak berhenti selama beberapa hari diikuti kejadian tanah runtuh dan banjir besar seharusnya mengingatkan kita bahawa perubahan iklim itu benar dan mampu mendatangkan kesan di luar jangkaan pelbagai pihak termasuk pakar malah pemerintah.
“Oleh itu, Parlimen perlu meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai dan pembangunan bandar yang mampan untuk melihat jauh ke hadapan.
“Kita dapat melihat lumpur dari bukit dan sungai, ini membuktikan kawasan ini semakin terhakis dan cetek akibat aktiviti manusia. Justeru jika tidak dikawal, ia akan membawa padah dan malapetaka,” katanya.