Masyarakat Orang Asli terjejas oleh banjir perlu bantuan makanan segera

Masyarakat Orang Asli terjejas oleh banjir perlu bantuan makanan segera

Ketua-ketua kampung di Bukit Tadom, Selangor, dan Kampung Jeram, Kedah, rayu bantuan.

Anggota Pasukan Gerakan Am polis yang bertugas di Kampung Bukit Tadom. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Penduduk kampung Orang Asli yang terkandas akibat banjir di Selangor, Kedah dan Kelantan amat memerlukan bantuan makanan dan keperluan lain.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas berkata, 14 perkampungan Orang Asli di Selangor ditenggelami banjir.

Nicholas, yang membantu Orang Asli di Selangor berkata, kampung yang paling teruk terjejas adalah di Bukit Tadom dekat Sepang. Penduduknya dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan telah berpindah ke kawasan tinggi di empat tempat berbeza.

Nicholas juga bercakap mengenai keadaan di Kelantan dan kawasan yang bersempadan dengannya. Gua Musang dan beberapa kampung “teruk dilanda” banjir, katanya.

“Kampung tidak tenggelam, tetapi akses jalan raya dan bekalan makanan terputus,” katanya.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu menghantar helikopter dengan bekalan untuk membantu mereka.”

Soeb Miah, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Tadom memberitahu FMT, hujan yang turun tidak henti-henti menyebabkan air banjir sukar untuk surut sepenuhnya.

“Kami kini tinggal di dalam khemah kerana rumah tenggelam sepenuhnya, keadaannya tidak selesa,” katanya.

“Kami sangat memerlukan bekalan seperti makanan kering, selimut dan bantal.”

Di Kampung Jeram, Kedah, banjir menjejaskan 387 penduduk kampung Orang Asli dan mereka telah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Sam anak Chen berkata, walaupun Jabatan Kebajikan, pegawai negeri, JAKOA dan NGO membantu penduduk Kampung Jeram, namun bantuan makanan dihentikan secara tiba-tiba semalam.

“Kami semua lapar dan kanak-kanak tidak makan apa-apa,” katanya.

“Sila hantar makanan secepat mungkin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.