Kemusnahan habitat dorong hidupan liar masuk kawasan bandar

Kemusnahan habitat dorong hidupan liar masuk kawasan bandar

Habitat yang terjejas oleh banjir akibat pembersihan hutan akan menyebabkan haiwan lemas atau terpindah, kata Mark Rayan Darmaraj.

Pembersihan hutan untuk tujuan pembangunan mengurangkan daya tahan persekitaran terhadap kejutan, kata seorang pakar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Haiwan yang berkeliaran di kawasan bandar selepas melarikan diri daripada banjir menjadi bukti kemusnahan habitat di tangan manusia, menurut seorang pakar hidupan liar.

Mark Rayan Darmaraj, Pengarah Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar bagi Malaysia berkata, pembersihan kawasan hutan oleh pemaju mengakibatkan persekitaran semula jadi negara kurang daya tahan terhadap kejutan.

“Habitat hidupan liar yang asli tidak banyak terjejas jika kejadian banjir ini tidak begitu teruk dan kerap,” katanya kepada FMT.

“Bagaimanapun jika habitat hidupan liar terjejas oleh pembalakan dan ekosistem terganggu, dengan hujan lebat kawasan ini terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan limpahan sungai disebabkan ketiadaan pokok dan tumbuh-tumbuhan yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keutuhan tanah.”

Beliau berkata, banjir akan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan haiwan lemas atau berpindah jika mereka melarikan diri daripada air yang semakin naik.

Beliau menggesa penggunaan tanah yang lebih baik bagi mengelakkan konflik antara manusia dan haiwan yang berpindah akibat kejadian banjir.

Katanya, pembangunan dan pembersihan tanah berhampiran kawasan bandar harus menerapkan sistem perparitan yang mampu menangani banjir kilat dan hujan lebat.

Beliau juga berkata, semua negeri perlu memainkan peranan dalam meminimumkan kemusnahan hutan demi manfaat manusia dan hidupan liar.

“Ahli politik perlu sedar bahawa hutan membawa manfaat yang tidak terkira kepada manusia seperti mengurangkan perubahan iklim dan kerosakan banjir, menyediakan air tawar dan sumber asli, menjadi tapak pelancongan dan banyak lagi,” tambahnya.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Ahmad Ismail berkata, pihak berkuasa perlu mengambil kira laporan orang ramai mengenai pertembungan dengan haiwan di kawasan bandar dan peka mengenai kejadian yang disebarkan di media sosial.

“Ini mesti dianalisis supaya mereka boleh mengambil tindakan untuk merancang pengurusan habitat yang lebih baik,” katanya.

“Penambahbaikan mesti dilakukan antara lain dengan, mewujudkan zon penampan antara manusia dan habitat semula jadi atau koridor hidupan liar untuk menghubungkan habitat yang terbahagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.