
Beliau turut menyifatkan kandungan audio itu sebagai “merepek”.
Audio itu sebelum ini telah dimasukkan sebagai bahan kes dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah melibatkan projek kuasa solar sekolah-sekolah di Sarawak.
Ini berikutan langkah Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Gopal Sri Ram memohon kenenaran mahkamah untuk memainkan audio itu di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Sri Ram: Adakah itu suara kamu?
Rosmah: Saya tidak tahu.
Bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid yang juga saksi pendakwa sebelum ini memberitahu mahkamah suara wanita dalam rakaman itu adalah milik Rosmah manakala lelaki terbabit ialah Najib.
Seorang lagi saksi pendakwa, Rizal Mansor, iaitu bekas pembantu Rosmah turut mengenal pasti suara wanita berkenaan sebagai milik Rosmah.
Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah mendengar 10 saat pertama rakaman itu apabila wanita dikatakan Rosmah itu didengar memberitahu individu dipercayai Najib, “Can I advise you something?” (Boleh saya nasihatkan sesuatu?) sebelum lelaki terlibat menjawab beliau perlu masuk kereta terlebih dulu.
Hari ini, Sri Ram mendapat pengesahan Rosmah bahawa beliau berada di mahkamah tahun lalu ketika rakaman audio itu dimainkan.
Sri Ram: Adakah itu suara kamu dan Najib?
Rosmah: Tidak, bukti saintifik tidak dikemukakan (mengenainya).
Rosmah kemudian menolak cadangan Sri Ram bahawa suara wanita itu adalah miliknya.
Selain itu, Rosmah turut menolak cadangan Sri Ram bahawa beliau merujuk kepada pelantikan beberapa pegawai kanan kerajaan kepada Najib dalam rakaman itu.
Sri Ram: Saya cadangkan isi kandungan audio itu benar.
Rosmah: Merepek.
Beliau turut menyangkal keterangan Mahdzir, Rizal, serta dua bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad dan Alias Ahmad.
Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, menerusi Rizal, bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek solar sekolah di luar bandar Sarawak.
Dia juga didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.
Perbicaraan bersambung.