Mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Perak, KL menurun, tapi Selangor bertambah

Mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Perak, KL menurun, tapi Selangor bertambah

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan, paras air Sungai Bernam di Rimba KDR di Sabak Bernam, berstatus bahaya dengan ketinggian 3.36m dan dalam trend menaik setakat 10.45 pagi tadi.

Seramai 22,332 mangsa banjir daripada 5,775 keluarga ditempatkan di 109 pusat pemindahan sementara di Selangor setakat tengah hari tadi berbanding 21,941 orang di 106 PPS pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Kelantan, Perak dan ibu negara menurun setakat tengah hari tadi, namun terdapat peningkatan di Selangor.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir menurun kepada 35,369 orang di 259 PPS pada tengah hari berbanding 37,356 orang di 264 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jumlah daerah terjejas banjir di negeri itu kekal sembilan membabitkan Kuantan, Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub, manakala Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh dan Kuantan akan mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Sementara itu, pemegang konsesi lebuh raya ke Pantai Timur di Pahang, ANIH Bhd memaklumkan laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dibuka, namun pengguna dinasihatkan berhati-hati di laluan kontra di KM77.1 ke KM74.8 dan KM70.3 ke KM68.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan 109 PPS dibuka bagi menempatkan 22,332 mangsa banjir daripada 5,775 keluarga setakat 12.21 tengah hari tadi berbanding 21,941 orang di 106 PPS pada 7.20 pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam, berstatus bahaya dengan ketinggian 3.36m dan dalam trend menaik setakat 10.45 pagi tadi.

Di Kelantan, jumlah mangsa setakat 12 tengah hari tadi ialah 1,521 orang daripada 516 keluarga, berbanding 1,559 orang daripada 532 keluarga pagi tadi membabitkan lapan PPS yang semuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada di paras bahaya, dengan hanya tiga sungai di paras amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menurun kepada 245 mangsa berbanding 252 mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak sehingga 12 tengah hari tadi.

Di Kuala Lumpur, 314 mangsa banjir daripada 74 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat 11.28 pagi tadi berbanding 315 orang daripada 75 keluarga pagi tadi.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 135 orang daripada 34 keluarga setakat tengah hari tadi, dengan semuanya ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri, Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu kekal 301 individu daripada 82 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat tengah hari tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.