Kediaman di Mentakab ‘lenyap’ tenggelam air banjir

Kediaman di Mentakab ‘lenyap’ tenggelam air banjir

Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun itu turut menyebabkan dua PPS dinaiki air hingga memaksa mangsa berpindah ke PPS lain.

Keadaan bandar Mentakab yang ditenggelami banjir yang dikatakan terburuk dalam tempoh 50 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Banyak kediaman “lenyap” ditenggelami air menjadikan situasi banjir yang melanda daerah Mentakab di Temerloh, Pahang disifatkan sebagai terburuk pernah dialami, menurut penduduk setempat.

Selain menyebabkan kebanyakan rumah dua tingkat hanya kelihatan bumbung, banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 50 tahun itu turut menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) turut dinaiki air hingga memaksa mangsa berpindah ke PPS lain.

Difahamkan dua PPS berkenaan ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abu Bakar Mentakab dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab.

Penduduk Kampung Batu Kapor, Rosedi Othman, 68, berkata, keadaan banjir yang melanda kali ini luar biasa sehingga menyebabkan rumahnya dan penduduk kampung lain “hilang” ditenggelami air selain arus deras menyebabkan rumah rosak teruk hingga ada yang dibawa arus.

“Ada jiran yang menaiki bot memberitahu rumah saya dan banyak rumah penduduk dibawa arus deras malah ada rumah yang tersangkut pada pokok.

“Sebelum ini, termasuk banjir awal tahun, kebiasaan seminggu banjir akan melanda tetapi dengan keadaan luar biasa ini saya risaukan ia akan mengambil masa lebih lama untuk surut,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Tze Chiang berkata, pada masa ini terdapat dua PPS utama menempatkan penduduk setempat yang terjejas, iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dan SMK Seri Semantan, dengan keadaan kedua-duanya agak padat.

Kelmarin, kejadian banjir di Pahang semakin buruk seakan-akan mengulangi tragedi banjir besar 1971 apabila seluruh bandar Mentakab ditenggelami air.

Ketika banjir besar 2014 hanya kampung-kampung berhampiran sungai sahaja ditenggelami air namun kali ini bandar itu turut dilimpahi air seperti lautan.

Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd Ikram Haron berkata, keadaan air banjir di sekitar bandar Mentakab pada masa ini adalah statik dan bertahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.