Ayer Keroh Country Club tiada lesen arak, kata KM Melaka

Ayer Keroh Country Club tiada lesen arak, kata KM Melaka

Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali berkata, kelab berusia 57 tahun itu bukan ditubuhkan untuk menjual minuman keras atau menjadi pusat hiburan.

Kerajaan Melaka mengarahkan Ayer Keroh Country Club menghentikan penjualan alkohol dalam premis itu berkuat kuasa serta-merta.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali berkata, Ayer Keroh Country Club (AKCC) tiada lesen menjual minuman beralkohol dalam premisnya.

Katanya, hasil semakan kerajaan negeri mendapati AKCC tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol tanpa lesen.

Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan penjualan minuman beralkohol di premis itu dihentikan segera.

“Saya juga menerima banyak aduan mengenai penjualan alkohol sedangkan kelab itu ditubuhkan untuk aktiviti sukan,” kata Sulaiman menurut laporan The Star.

Semalam, FMT melaporkan kerajaan Melaka mengarahkan AKCC berhenti menjual minuman beralkohol dalam premis itu.

Dalam kenyataan dimuat naik kelab itu di Facebooknya semalam, pihak pengurusan AKCC berkata, arahan baharu itu berkuat kuasa serta-merta.

Sulaiman berkata, memandangkan AKCC dimiliki kerajaan negeri, kelab itu perlu mematuhi peraturan kerajaan.

“Ini adalah sebab kita menyiasat aduan penjualan alkohol dalam premis itu dan memutuskan ia perlu dihentikan.”

Katanya, kelab itu bukan ditubuhkan untuk menjual minuman beralkohol atau menjadi pusat hiburan.

Sulaiman turut menafikan kerajaan negeri melanggar hak ahli kelab itu atau orang awam.

“Langkah itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri melanggar hak sesiapa atau mengharamkan penjualan alkohol di negeri itu. Kami hanya bertindak berdasarkan aduan diterima daripada ahli AKCC mengenai penjualan alkohol.”

Katanya, kerajaan negeri menghormati hak rakyat dan beliau berharap isu itu tidak diperbesarkan.

Kelab berusia 57 tahun itu adalah kelab tertua di Melaka yang dilengkapi padang golf 27 lubang dan kemudahan sukan serta rekreasi lain, termasuk kolam renang, gelanggang tenis dan skuasy, bilik ping pong serta biliard.

Menurut laman sesawang AKCC, kelab itu diuruskan syarikat bernama Ayer Keroh Country Club Berhad, yang ahli lembaga pengarahnya dicalonkan kerajaan Melaka.

Dua tahun lalu, 160 ahli Kelab Golf Antarabangsa Seremban dalam satu mesyuarat agung luar biasa sebulat suara membantah larangan penjualan alkohol dalam premisnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.