Siasat segera dakwaan salah laku seks anggota polis, desak EDICT

Siasat segera dakwaan salah laku seks anggota polis, desak EDICT

EDICT berkata seorang anggota polis dikatakan telah memaksa tahanan wanita melakukan seks oral ketika disoal siasat di balai itu.

Seorang tahanan wanita mendakwa didera secara seksual di Balai Polis Serdang pada 18 Dis.
PETALING JAYA:
Siasatan telus dan bebas perlu dilaksanakan berhubung dakwaan salah laku seks berlaku di Balai Polis Serdang pada 18 Dis, desak satu badan bukan kerajaan (NGO).

Bersama Menghapuskan Kematian & Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) dalam kenyataannya, berkata seorang anggota polis dikatakan telah memaksa seorang tahanan wanita melakukan seks oral ketika disoal siasat di balai itu.

“Dakwaan berkenaan menimbulkan keraguan sama ada polis mempunyai garis panduan dalam mengendalikan suspek wanita yang disoal siasat bagi tujuan penyiasatan kes,” katanya dalam kenyataan.

Menurut EDICT, kejadian itu bukan kes terpencil.

“EDICT menuntut agar Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri segera mengeluarkan kenyataan berkenaan langkah yang telah diambil polis agar kes seperti ini tidak berulang,” kata kenyataan itu.

Menurut EDICT, kes salah laku seks, salah guna kuasa, pengabaian tugas serta kecuaian tidak boleh dibenarkan berlaku lagi demi membina keyakinan masyarakat umum terhadap polis.

Pada 18 Dis, seorang wanita berusia 36 tahun mendakwa anggota polis terbabit yang dipercayai bertugas di bahagian jenayah berat telah memaksa mangsa melakukan seks oral ketika mereka berada di sebuah bilik.

Dalam laporan polis, mangsa mendakwa anggota terbabit membawanya ke sebuah bilik selepas dia memberi keterangan, membuka gari dan mengarahkannya melakukan perbuatan itu.

Wanita itu mendakwa dihantar ke lokap semula selepas insiden berkenaan dan diberi amaran untuk tidak bercakap mengenai perkara itu.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata bilik itu tiada kamera dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya wanita itu dan suaminya adalah suspek dalam kes samun dan sedang ditahan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.