Program rekalibrasi imigresen: Ratusan terkandas di KLIA

Program rekalibrasi imigresen: Ratusan terkandas di KLIA

Kebanyakan pendatang asing itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Imigresen, menyebabkan mereka terlepas penerbangan.

Ramai pendatang asing tanpa dokumen terkandas di KLIA ketika cuba meninggalkan negara ini di bawah program rekalibrasi Jabatan Imigresen yang berakhir pada 31 Dis.
PETALING JAYA:
Ratusan pendatang asing tanpa dokumen terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kebanyakannya tidak mendapat kelulusan pihak imigresen, menyebabkan mereka terlepas penerbangan.

Ramai terkandas di KLIA ketika cuba meninggalkan negara ini di bawah Program Rekalibrasi Pulang Jabatan Imigresen yang bermula sejak lebih setahun lalu dan berakhir 31 Dis.

Dalam program itu, golongan berkenaan dibenarkan pulang ke negara asal selepas memenuhi syarat diperlukan.

Bagaimanapun, dengan tarikh akhir semakin menghampiri, semakin ramai pendatang dilihat membanjiri KLIA.

Jurucakap di sebuah Pesuruhjaya Tinggi yang enggan dikenali memberitahu FMT, Jabatan Imigresen tidak dapat menangani tekanan itu.

“Daripada 20 kaunter disediakan di KLIA untuk memproses kepulangan pendatang ini, hanya 10 beroperasi,” katanya, dengan menambah kaunter disediakan di tempat meletak kereta lapangan terbang itu.

“Jabatan Imigresen tahu bahawa pada bulan terakhir program ini akan menerima kehadiran ramai individu yang mereka mahu berlepas pulang. Mereka sepatutnya bersedia.”

Menurut jurucakap itu lagi, dia berada di KLIA setiap minggu dan menghubungi Jabatan Imigresen namun tiada sebarang perubahan keadaan.

Seorang lagi Pesuruhjaya Tinggi lain memaklumkan, salah seorang warganya telah mengikuti prosedur ditetapkan namun masih terlepas penerbangannya.

Katanya, individu itu telah menghormati undang-undang Malaysia dan mengikut prosedur tetapi kini tertekan kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman.

“Pihak imigresen tahu masa penerbangan, mengapa proses itu tidak dapat diselesaikan lebih cepat bagi mereka yang dijadualkan terbang awal?” soalnya.

Kedua-dua sumber itu berkata, kira-kira 150 pendatang terlepas penerbangan mereka setiap hari, dengan purata antara 30 hingga 40 orang setiap penerbangan.

Mereka berkata, pendatang itu terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Filipina malah turut melibatkan bayi serta wanita hamil.

Sementara itu, FMT telah menghubungi Jabatan Imigresen namun masih belum menerima maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.