
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, berkata pasukan ini akan digerakkan di semua kawasan terjejas untuk mengesan mereka yang cuba mencuri kenderaan milik mangsa bencana.
“Perkara itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani hari ini, dengan pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kecurian kereta rosak akibat banjir termasuk kes kecurian menggunakan trak tunda.
“Pasukan Cantas secara umumnya dianggotai anggota dan pegawai polis pelbagai pangkat dan akan ditugaskan bagi menangani kes-kes tertentu yang berlaku dalam negara,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah Timbalan Ketua Polis Negara, di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kegiatan curi kenderaan mangsa banjir termasuk melibatkan trak tunda yang didakwa cuba membawa lari kereta tersadai.
Dalam usaha mengenai kes kecurian di beberapa premis di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Hamzah berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan mengenai kes itu kerana semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku kecurian melibatkan barangan bukan keperluan asas.
“Memang ada yang reda dan halalkan, tetapi bila lihat CCTV, ada yang ambil barangan bukan makanan seperti aksesori telefon, rokok, arak dan benda lain. Ini adalah kes kecurian yang menyebabkan kerugian kepada peniaga,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib dilaporkan berkata, seramai 31 warga asing ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, polis menubuhkan Markas Taktikal di daerah Hulu Langat, Selangor bagi menyelaras bantuan banjir di daerah tersebut.
Katanya, markas tersebut berfungsi sebagai pusat operasi di lapangan dan pegawai pemerintah akan mengkoordinasikan dan menyelaras operasi bantuan semua unit.
“Markas ini akan meningkat dan memperkasakan operasi membersih, membantu dan menjaga kebajikan mangsa banjir yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya bercadang untuk membeli 50 bot untuk kontinjen polis Selangor khusus untuk bencana banjir dan permohonan mengenainya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
“Polis mempunyai aset yang cukup di Terengganu dan Pahang tetapi di Selangor, ia tidak pernah berlaku dahulu…bot-bot ini dicadang untuk diletakkan di balai polis sekitar Selangor,” katanya.