
Kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memohon penggantungan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan mereka yang akan didengar pada Mac.
Hakim Kamaludin Md Said, S Nantha Balan dan See Mee Chun menolak permohonan berkenaan melalui sidang Zoom hari ini, kata kumpulan NGO Family Frontiers.
Ini bermakna wanita Malaysia akan dapat mendaftarkan anak-anak mereka dengan kewarganegaraan Malaysia, mengikut keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Mahkamah masih akan mendengar rayuan kerajaan pada 23 Mac, bersama satu lagi kes membabitkan seorang wanita yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga Malaysia.
Dalam menolak permohonan kerajaan untuk penggantungan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu, hakim rayuan berkata, perkara itu membabitkan hak kanak-kanak.
“Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa ini bukan penggantungan berhubung penghakiman bersifat kewangan atau catel, sebaliknya melibatkan hak kanak-kanak,” kata peguam dalam kes itu kepada media.
Peguam juga berkata, hakim-hakim berpendapat mahkamah tidak sepatutnya menyekat responden daripada hasil litigasi.
Peguam Gurdial Singh Nijar, Joshua Andran dan Abraham Au mewakili responden, manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili perayu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak menjadi warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang.
Family Frontiers dan enam ibu memfailkan saman agar mahkamah mengisytiharkan beberapa peruntukan bawah Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan tidak sah atas alasan ia bersifat diskriminasi terhadap wanita.
Menurut mereka, Perlembagaan hanya membenarkan bapa mendapatkan kewarganegaraan bagi anak-anaknya yang dilahirkan di luar persekutuan, tetapi seorang ibu tidak dibenarkan berbuat demikian.