Kenapa tiada amaran awal banjir, soal Ahli Parlimen kepada Jabatan Meteorologi

Kenapa tiada amaran awal banjir, soal Ahli Parlimen kepada Jabatan Meteorologi

Jika ada amaran awal yang mencukupi, kata mereka, orang ramai boleh lebih bersedia untuk menghadapi bencana itu.

Kemusnahan akibat banjir baru-baru ini mungkin tidak seteruk yang dialami jika sistem amaran awal berkesan, kata Ahli Parlimen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pihak pembangkang mempersoalkan ketidaksediaan agensi kerajaan menghadapi kejadian banjir pada hujung minggu lepas yang mendatangkan malapetaka di Lembah Klang, sebahagian kawasan di Pahang dan beberapa tempat lain.

Mereka bertanya mengapa Jabatan Meteorologi, misalnya, gagal memaklumkan orang ramai seminggu atau dua minggu lebih awal.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, jabatan itu pastinya maklum bahawa cuaca buruk itu akan datang.

“Mengapa ia simpan maklumat itu? (Jabatan) sepatutnya memberi makluman mengenai ribut tropika itu supaya orang ramai dapat bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sepatutnya menyediakan talian penting yang dapat dihubungi orang ramai yang memerlukan bantuan.

“Kemarahan yang dirasai mangsa banjir tidak dapat digambarkan. Mereka kehilangan segala-galanya, daripada perabot, barangan elektrik hingga barang berharga.

“Mereka tiada wang untuk membeli peralatan dapur untuk memasak.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen menggesa siasatan dijalankan, dengan berkata: “Kita perlu mendapatkan kebenaran mengenai perkara itu. Adakah terdapat kegagalan ramalan di pihak Jabatan Meteorologi atau adakah ini kes kegagalan komunikasi antara pelbagai agensi dan pihak berkuasa?

“Mesti ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.”

Kemusnahan mungkin tidak seteruk yang dialami jika sistem amaran awal berkesan, katanya.

Beliau menggesa kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk mendokumentasikan kesilapan yang berlaku dan menggunakan penemuannya untuk menambah baik pengurusan banjir dan usaha menyelamat pada masa hadapan.

“Saya yakin perubahan iklim menyumbang kepada intensiti banjir ini,” katanya.

“Oleh itu, kita perlu lebih bersedia untuk banjir besar seterusnya.”

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj bertanya sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika air empangan dilepaskan ke sungai.

Katanya, air dilepaskan pada waktu malam dan penduduk yang terjejas mungkin tidak tahu betapa teruk kesannya.

“Penduduk terkejut apabila air berterusan naik,” katanya sambil menambah, amaran sepatutnya dikeluarkan.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok percaya agensi kerajaan tidak dilengkapi untuk menangani banjir, dan ini mengakibatkan kesengsaraan kepada ribuan rakyat.

“Tindak balas NADMA juga lembab,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.