Setiausaha Kerajaan Negeri urus bencana negeri, kata NADMA

Setiausaha Kerajaan Negeri urus bencana negeri, kata NADMA

Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan berlaku selisih faham antara agensi itu dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Setiausaha Kerajaan Negeri mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sekiranya berlaku bencana di peringkat negeri dan mengambil alih penggembelengan semua agensi terbabit tangani bencana, kata Ketua Pengarah NADMA Aminuddin Hassim.
PETALING JAYA:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menafikan kurangnya penyelarasan dalam menangani isu banjir yang melanda Selangor, kata Ketua Pengarahnya, Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) sudah diadakan pada 13 September lalu, yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, tanggungjawab sudah diberikan kepada semua agensi responder dan mereka sudah faham serta tahu fungsi dan peranan masing-masing, sekiranya berlaku bencana.

“Bencana ini ada tiga tahap iaitu daerah, tahap kedua membabitkan banyak daerah dalam satu negeri dan tahap ketiga adalah negara iaitu dua atau tiga negeri terbabit bencana.

“Jika ia berlaku (bencana) di peringkat negeri maksudnya kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan mempengerusikan JPBN Negeri dan mengambil alih penggembelengan semua agensi terbabit untuk menangani bencana,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Aminuddin berkata, peranan setiap agensi sudah digariskan sepenuhnya supaya tidak timbul isu kurangnya penyelarasan dalam kalangan agensi, malah termaktub dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri mengetahui aset untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana.

“Sekiranya berlaku sebarang kesulitan, NADMA akan mengambil alih dalam menyelaraskan usaha bantuan bencana.

“NADMA turut memperuntukkan dana di peringkat daerah dan agensi responder negeri untuk membeli logistik dan keperluan makanan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menafikan berlaku selisih faham antara NADMA dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya sudah bercakap dengan Panglima Tentera Darat dan beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan berlaku perselisihan faham antara Nadma dengan tentera.

“Hubungan kami kekal baik. Khabar angin itu tidak lebih daripada pembohongan.

“NADMA tidak pernah menghalang tentera daripada menjalankan usaha bantuan banjir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.