Laksana libat urus dengan golongan ingin dibantu, kerajaan diberitahu

Laksana libat urus dengan golongan ingin dibantu, kerajaan diberitahu

Penggubal dasar harus melihat sistem yang telah dilaksanakan dalam komuniti, bukan mengenakan konsep 'asing', kata ahli ekonomi Madeline Berma.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, terdapat keperluan untuk undang-undang baharu bagi memenuhi keperluan pekerja sektor tidak formal seperti mereka dalam industri gig dan yang bekerja sendiri.
PETALING JAYA:
Sebarang jaringan keselamatan sosial hanya dapat disediakan kepada rakyat selepas proses libat urus lebih baik dengan golongan sasarannya.

Ini akan memastikan kesesuaian terbaik bagi keperluan khusus mereka, kata ahli ekonomi Madeline Berma dalam pembentangan “Malaysia Economic Monitor” Kumpulan Bank Dunia untuk Disember.

Berma berkata, dalam usaha memperkasakan komuniti luar bandar, penggubal dasar harus melihat sistem yang telah dilaksanakan komuniti ini, bukan mengenakan konsep “asing” yang mungkin tidak disenangi mereka.

“Komuniti ini tahu masalah mereka dan cara menyelesaikannya. Sudah berlalu zaman ahli akademik dan kerajaan boleh bertindak seolah-olah mereka tahu segala-galanya.

“Sebagai contoh, dalam kalangan komuniti ini, mereka mempunyai sistem ‘kutu’. Dalam ekonomi pembangunan, ia dipanggil ‘sistem penggiliran kredit’,” katanya.

Beliau merujuk mekanisme individu membuat caruman bulanan kepada satu persatuan tidak rasmi, yang mana mereka bergilir-gilir menebus atau “meminjam”, jumlah yang dikutip.

“Sistem ini belum dibangunkan sepenuhnya, tetapi ia adalah sistem yang difahami masyarakat. Tetapi apa yang kita lakukan? Kita tampil dengan sistem baharu dianggap ‘formal’ yang asing kepada komuniti berkenaan,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun pindaan kepada undang-undang pekerjaan sedia ada menggalakkan, mungkin masih ada keperluan untuk undang-undang baharu bagi lebih memenuhi keperluan pekerja sektor tidak formal seperti yang dalam industri gig, yang bekerja sendiri dan kontraktor bebas.

“Dengan undang-undang dan dasar sedemikian, kita boleh melindungi mereka dengan lebih baik dan menggunakan apa sahaja cara yang mereka rasa paling selesa.

“Jika mereka yang bekerja sendiri dalam ekonomi gig berkata mereka lebih suka caruman harian berbanding bulanan, sistem mesti fleksibel untuk memenuhi keperluan ini,” katanya.

Nurul Izzah berkata, beban ini bukan sahaja untuk dipikul Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kendalian kerajaan.

“Sektor swasta juga mempunyai peranan untuk membolehkan keperluan pekerja sektor tidak formal dipenuhi,” katanya.

Trend pekerjaan

Ketua ahli ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Apurva Sanghi berkata, walaupun kadar pengangguran telah menurun, kadar penggunaan tenaga tidak penuh kekal tinggi, dan ini berkait dengan mereka yang bekerja dalam tempoh lebih singkat berbanding sebelumnya, atau bekerja di bawah kelayakan atau tahap kemahiran mereka.

Apurva berkata, isu penggunaan tenaga tidak penuh di negara ini disebabkan penggunaan tenaga buruh tidak mencukupi, ketidakpadanan dalam kemahiran, perkembangan ekonomi tidak formal dan gig, serta kekurangan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak mampu milik.

Ahli ekonomi kanan (kemiskinan dan ekuiti) bagi Kumpulan Bank Dunia, Ririn Salwa Purnamasari berkata, mereka yang menyertai pasaran pekerjaan ketika wabak lebih berkemungkinan menceburi bidang tidak formal, merujuk graduan baharu yang terpaksa bekerja dalam sektor penghantaran atau e-panggilan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tenaga kerja tidak formal cenderung tidak menentu dan kurang ganjaran.

“Pekerja tidak formal lebih berkemungkinan mengalami pengurangan pendapatan dan perlindungan sosial. Bagi menampung kehilangan pendapatan, mereka mungkin menggunakan strategi bahaya untuk bertahan, seperti mengurangkan pemakanan dan menjual aset,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.