
Julian Gorman, ketua Asia Pasifik Persatuan Sistem Global untuk Komunikasi Mudah Alih yang berpangkalan di United Kingdom berkata, persaingan akan membawa manfaat yang ketara kepada syarikat telekomunikasi dan pelanggan.
Katanya, syarikat telekomunikasi mudah alih perlu mencari sumber pertumbuhan hasil baharu serta mengoptimumkan struktur kos mereka bagi memenuhi peningkatan pelaburan yang diperlukan untuk menghidupkan 5G.
“Rangkaian secara borong berbilang meningkatkan persaingan dalam teknologi dan penggunaan rangkaian serta menggalakkan pelaburan dalam inovasi untuk mengekalkan teraju dalam bahagian pasaran,” katanya.
Menurut laporan Reuters, Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile mengesyorkan agar kerajaan membenarkan dua rangkaian 5G secara borong, setiap satu dibina dan dikendalikan oleh konsortium pembawa.
Kerajaan pada masa ini merancang untuk menjalankan rangkaian secara borong tunggal dikendalikan oleh DNB, yang akan membina, memiliki dan mengendalikan rangkaian dan akan memajakkan spektrumnya kepada pembekal rangkaian mudah alih.
Gorman berkata, rangkaian secara borong tunggal mungkin akan mengurangkan inovasi kerana tiada persaingan dan pembezaan perkhidmatan.
“Tanpa persaingan, tiada kuasa dinamik untuk memajukan inovasi,” katanya.
Rangkaian secara borong tunggal akan menawarkan liputan, kualiti dan fungsi rangkaian yang sama kepada semua pelanggannya.
Pembekal yang bersaing boleh menyampaikan manfaat yang ketara kepada pengguna seperti kelajuan yang lebih pantas dan kebolehpercayaan lebih tinggi, katanya.