Banjir: MOSTI tunggu kelulusan CAAM sebelum gerak 20 dron berkuasa tinggi

Banjir: MOSTI tunggu kelulusan CAAM sebelum gerak 20 dron berkuasa tinggi

Adham Baba, berkata kementeriannya mendapat kerjasama lima syarikat swasta membekalkan 20 dron itu yang akan dikendalikan Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba, berkata pihaknya masih menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menerbangkan dron berkenaan secepat mungkin.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 20 dron berkuasa tinggi akan digerakkan bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting ke kawasan bencana banjir, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mendapat kerjasama daripada lima syarikat swasta untuk membekalkan 20 dron itu yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron).

“Dron ini bukan sahaja boleh memantau dan mencari mangsa banjir yang mungkin terperangkap, tetapi juga keadaan jalan raya atau tebing seperti tanah runtuh yang mungkin terkesan akibat bencana ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Produk Teknologi Hijau DeScale, di sini.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menerbangkan dron berkenaan secepat mungkin bagi membantu usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bantuan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir, katanya.

Dr Adham Baba.

Adham berkata, dron akan memudah cara akses kepada visual dari udara (aerial view) bagi membantu agensi berkaitan dan pihak terbabit menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada mangsa banjir yang terkandas dan tiada akses kepada rangkaian komunikasi.

Beliau berkata, dron berteknologi tinggi itu boleh membawa muatan hingga 10 kilogram untuk setiap penghantaran dan melakukan penghantaran bekalan asas khususnya ubat dan makanan, terutamanya di kawasan yang sukar dicapai.

Mengenai cerapan imej satelit, Adham berkata, sehingga semalam, kawasan yang digenangi air di Taman Sri Muda dan Seksyen 24, Shah Alam, Selangor menunjukkan pengurangan kira-kira 60% berbanding Sabtu lalu, dan kawasan liputan banjir berkurangan daripada 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi.

Cerapan imej satelit di Pahang pula menunjukkan peningkatan kawasan yang digenangi air, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.