Terima padahnya jika abai impak Undi 18, penganalisis beritahu ahli politik

Terima padahnya jika abai impak Undi 18, penganalisis beritahu ahli politik

Persepsi pengundi muda terhadap orang lama dalam politik tidak diketahui, tetapi kebanyakannya mungkin tidak mengendahkan sumbangan mereka.

Belia di seluruh negara mendesak pelaksanaan pindaan Undi 18, yang dijadualkan berkuat kuasa tahun ini.
PETALING JAYA:
Semua parti politik perlu bimbang dengan penyertaan pengundi Undi18 tahun depan yang akan menyebabkan perubahan demografi besar di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengaruh hebat dalam pilihan raya umum (PRU) pada masa hadapan, menurut seorang penganalisis politik.

Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berkata, akan berlaku perubahan besar-besaran dalam pecahan kaum pengundi. Faktor kaum sering menentukan keputusan dalam kebanyakan kes disebabkan penekanan kepada politik berasaskan kaum di negara ini.

Di samping itu beliau berkata, fikiran kira-kira lima juta belia ini sukar dibaca, jadi ini menjadi “misteri” bagi ahli politik.

Namun katanya, kemasukan pengundi muda Melayu ke kawasan bandar dan separa luar bandar dengan jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar akan memberi impak yang hebat kerana kebanyakan kerusi ini kini dipegang PKR dan DAP.

“Ini boleh menimbulkan masalah kepada parti-parti ini yang kekuatannya terletak di kawasan pilihan raya ini dan diisytiharkan sebagai kerusi selamat mereka. Jika mereka bergantung kepada politik lama berdasarkan personaliti, mereka mungkin tinggal sejarah,” katanya kepada FMT.

Kebimbangan ini diakui Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran daripada DAP, yang menang mudah di Ipoh Barat dalam empat PRU sejak 2004.

Beliau berkata, DAP menjangkakan demografi kebanyakan kerusi Parlimen akan berubah.

“Dengan 30,000 pengundi baharu dijangkakan di Ipoh Barat selepas (pelaksanaan) Undi18, saya jangkakan 30% pengundi berbangsa Melayu, berbanding sekarang 17%,” katanya.

Sivamurugan berkata, pengundi kali pertama ini kebanyakannya berada di sekolah, kolej atau pekerja baharu yang kapasiti pendapatannya akan mempengaruhi cara mereka mengukur prestasi kerajaan.

“Pengundi ini mungkin terpengaruh dengan ahli keluarga, rakan sebaya dan pensyarah mereka. Persepsi mereka terhadap orang lama dalam politik juga tidak diketahui, tetapi kebanyakannya mungkin tidak mengendahkan sumbangan mereka. Mereka secara amnya ‘anti-establishment’, dengan usia muda mereka, jadi penting bagaimana mereka dipujuk (untuk mengundi),” katanya.

Beliau berkata, ini mungkin menjadi sebab kumpulan tertentu mendesak agar PRU seterusnya diadakan sebelum Mac apabila nama mereka akan disenaraikan secara rasmi sebagai calon.

Satu lagi perkara penting, kata Sivamurugan, adalah impak yang bakal dirasai dengan kehadiran parti baharu MUDA kerana ia pasti akan menarik minat belia dan mengubah landskap politik.

“Tambahan pula, kerjasama MUDA dengan Warisan yang baru menjejakkan kaki di Semenanjung mungkin akan menjadi satu kekuatan yang perlu dihadapi

“Mana-mana pihak yang menolak kemungkinan ini tanpa berfikir mungkin akan menerima padah dari segi politik,” katanya.

Dua hari lepas, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, gabungan Warisan-MUDA tidak dijangka menjadi ancaman besar bagi parti politik lain.

Ini disangkal ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu daripada DAP, yang berkata, ia mungkin menjadi sesuatu yang perlu dibimbangi Pakatan Harapan (PH).

Beliau dilaporkan berkata, PH perlu berhati-hati; jika gabungan itu tidak diambil serius, ia boleh mengakibatkan bencana, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.