Tanah runtuh: Warga emas cedera tertimbus, 4 rumah rosak di Kampung Sungai Penchala

Tanah runtuh: Warga emas cedera tertimbus, 4 rumah rosak di Kampung Sungai Penchala

Menurut bomba, seorang wanita berusia 70an didapati tertimbus hingga paras pinggang dan mangsa berjaya dikeluarkan.

Empat buah rumah rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala yang dipercayai berlaku kira-kira 1.22 pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang warga emas cedera manakala empat buah rumah rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 1.22 pagi tadi dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail dan Sri Hartamas dikerah ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku tanah runtuh menghempap empat buah rumah kediaman. Seorang wanita berusia 70-an didapati tertimbus hingga paras pinggang.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Azuwan berkata 35 anggota dikerah ke tempat kejadian termasuk anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Lokasi tanah runtuh berkenaan kini ditutup atas faktor keselamatan sementara pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan ia selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.