Redah air selamatkan barang, pengantin baharu ditemui lemas

Redah air selamatkan barang, pengantin baharu ditemui lemas

Mangsa yang mendirikan rumah tangga 12 Dis lalu, ditemui terapung oleh penduduk pada 11 pagi tadi.

Seorang penduduk menemui mayat mangsa terapung di tali air Desa Salak Pekerti, Sepang pagi tadi. (Gambar Ihsan Penduduk)
PETALING JAYA:
Seorang pengantin baharu yang dilaporkan hilang selepas meredah banjir untuk menyelamatkan barang di rumahnya ditemui lemas hari ini.

Seorang penduduk menemui mayat Muhammad Syafiq Saharuddin, 26, yang mendirikan rumah tangga pada 12 Dis lalu, terapung di tali air Desa Salak Pekerti, Sepang, kira-kira 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ahli keluarga mangsa sudah melaporkan kehilangan mangsa di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi Ahad lalu.

“Menurut adiknya, mangsa kali terakhir dilihat meredah banjir untuk mengambil barang rumah di Kampung Baru Lanjut, ketika air berada di paras dada,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.

Berita kematian arwah turut dikongsi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Facebook.

MAHB berkata, arwah berkhidmat sebagai pegawai operasi di bahagian pengurusan pelanggan.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat kami semua. Allahyarham yang baru mendirikan rumah tangga minggu lalu amat disenangi keluarga dan rakan.

“Arwah adalah seorang anggota yang berdedikasi, beretika tinggi serta ikhlas dalam melaksanakan tugasannya,” menurut catatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.