Ganti dokumen peribadi percuma untuk mangsa banjir

Ganti dokumen peribadi percuma untuk mangsa banjir

JPN dan imigresen akan diarah membantu mangsa yang dokumen mereka musnah atau hilang akibat banjir dalam masa terdekat.

Hamzah Zainudin memberitahu gantian itu melibatkan dokumen bawah KDN seperti kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi lain. (Gambar Bernama)
HULU LANGAT:
Mangsa banjir yang kehilangan kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi bawah agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh mendapatkan penggantian dokumen peribadi itu secara percuma.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta imigresen akan diarahkan supaya membantu mangsa yang dokumen mereka musnah atau hilang akibat banjir dalam masa terdekat.

“Sekarang mangsa boleh memberi tumpuan kepada proses pembersihan banjir, JPN dan imigresen serta agensi berkaitan akan membantu mendapatkan dokumen berkenaan.

“Selepas ini segala dokumen, sijil kelahiran, sijil kematian, pasport atau dokumen yang musnah akibat bencana (banjir) ini akan diberikan (penggantian) secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa.

Beliau berkata, banjir berlaku di Hulu Langat serta Shah Alam di Selangor adalah di luar jangkaan dan persediaan agensi bawah kementeriannya memberi fokus ke negeri di Pantai Timur.

“Kebiasaannya negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir sekitar November hingga Mac dan keadaan ini menyebabkan aturan gerak aset tertumpu ke kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.