Ahli Parlimen Bangi kayak solo bantu mangsa banjir di Taman Sri Muda

Ahli Parlimen Bangi kayak solo bantu mangsa banjir di Taman Sri Muda

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, dengan 15 perjalanan selama lebih empat jam, beliau berjaya menyelamatkan 40 mangsa terdiri daripada warga emas, OKU dan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, antara wakil rakyat yang giat membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam, menggunakan kayak. (Gambar Facebook Ong Kiang Ming)
PETALING JAYA:
Walaupun pelbagai aset pasukan keselamatan dan agensi lain digerakkan untuk membantu mangsa banjir, masih ramai penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam terkandas dan memerlukan bantuan.

Majoriti penduduk di situ terkandas di atas bumbung rumah lebih 24 jam tanpa makanan dan bekalan elektrik, menunggu bantuan untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming adalah antara wakil rakyat yang giat membantu mangsa banjir bergegas ke kawasan perumahan itu semalam untuk membantu mangsa yang ditenggelami air sehingga 8 kaki itu dengan menggunakan kayak.

“Oleh kerana saya seorang pendayung kayak yang berpengalaman (kira-kira 20 perjalanan) di sepanjang Sungai Klang, Gombak dan Hulu Langat sejak enam tahun lalu, saya dapat bawa kayak secara solo ke Taman Sri Muda,” katanya di Facebook hari ini.

Misi bantuan menyelamat oleh pemimpin DAP itu adalah yang kedua selepas misi pertama di kawasan Cheras Batu 11 yang turut ditenggelami air setinggi rumah setingkat. (Gambar Facebook Ong Kiang Ming)

Ong berkata, dengan 15 perjalanan selama lebih empat jam, beliau berjaya menyelamatkan 40 mangsa terdiri daripada warga emas, OKU dan kanak-kanak. Manakala 20 lagi diselamatkan oleh rakan pasukan menyelamat daripada DAP Bangi.

“Misi yang sangat memenatkan kerana hanya saya seorang yang berkayak. Ketika saya beredar kira-kira pukul 4.30 petang, pasukan saya sudah pun keletihan. Saya juga perlukan rehat.”

Katanya, dua daripada tiga kayak yang digunakan dalam misi menyelamat itu mengalami kerosakan teruk kerana terpaksa menempuh objek tajam ketika meredah lautan banjir di kawasan perumahan itu.

“Kerja perlu diteruskan. Lebih ramai mangsa perlu dipindahkan dari Taman Sri Muda pagi ini. Apabila air banjir semakin surut, semoga ini dapat memudahkan mereka yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Misi bantuan menyelamat oleh pemimpin DAP itu adalah yang kedua selepas misi pertama di kawasan Cheras Batu 11 yang turut ditenggelami air setinggi rumah setingkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.