
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, DAP berkemampuan menang lima lagi kerusi – Pujut di Miri, Bukit Assek dan Pelawan di Sibu, Tanjung Datu di Bintulu dan Kota Sentosa di Kuching.
“Kami kalah di Tanjung Datu dengan 23 undi, Pelawan dengan 100 undi dan Bukit Assek dengan 843 undi,” katanya kepada pemberita.
“Pada 2018 (pilihan raya umum), jumlah keluar mengundi adalah 71.7%, namun semalam hanya 60%. Jika tidak kerana jumlah keluar mengundi rendah dan Covid-19, lebih ramai pengundi akan keluar.
Beliau berkata, dua faktor berkenaan, selain larangan tidak adil dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk melarang kempen fizikal dan ceramah, Lim yakin parti itu boleh menunjukkan pencapaian lebih baik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg di atas kemenangan,” katanya.
Pada 2016, DAP menang di tujuh kerusi, manakala PKR menang di tiga kerusi.
Namun, keputusan rasmi semalam, menyaksikan DAP sekadar berpuas hati dengan dua kerusi sahaja iaitu di Padungan dan Pending, berbanding 24 kawasan ditandingi, manakala PKR tewas di semua 28 kawasan ditandingi.
Kekalahan ini adalah episod ulangan yang berlaku kepada pembangkang pada pilihan raya negeri Melaka. Amanah juga kalah di semua lapan kawasan ditandingi pada PRN Sarawak.
Kekalahan teruk parti komponen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mencetuskan persoalan berhubung kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi kepada pakatan berkenaan.
Dilaporkan, wujud gesaan terhadap Anwar dan beberapa lagi pimpinan kanan PH untuk berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan muda mengambil alih jawatan.
Bagaimanapun, Lim enggan mengulas lanjut ketika disoal berhubung perkara itu. Beliau hanya menggesa golongan muda tampil sebagai calon bagi partinya pada masa depan.
Dalam pada itu, pemimpin DAP itu berkata, PRN Sarawak juga memberi kesan signifikan, terutama dalam cubaan untuk memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia.
Katanya, parti yang mempromosi gesaan itu untuk memerdekakan Sarawak seperti, Parti Kenyalang Sarawak, menerima kekalahan teruk selepas calonnya hilang deposit di 64 kerusi ditandingi.
Lim berkata, situasi sama juga berlaku ke atas Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, yang kalah di 12 kerusi ditandingi, manakala sembilan calonnya hilang deposit.
“Pengerusi Parti Kenyalang (Sarawak) Voon Lee Shan, yang bertanding di Batu Lintang juga hilang deposit.
“Ini adalah sesuatu yang perlu difikirkan rakyat Sabah dan Sarawak, gesaan pemisahan bukan sesuatu perkara yang mendapat sokongan sebenar daripada rakyat.
“Ini perlu dihadamkan kerana beberapa pihak menggesa kemerdekaan Sabah (daripada Malaysia),” katanya.