
Dalam kenyataan TNB berkata, sejumlah 137 pencawang elektrik di Pahang, tujuh di Kelantan, 117 di Selangor, 45 di Kuala Lumpur, 10 di Melaka dan 17 di Negeri Sembilan ditutup sementara atas faktor keselamatan.
Katanya, hingga 12 tengah hari ini, penutupan itu membabitkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Baharin Din, berkata pihaknya turut memberikan bekalan elektrik melalui set jana kuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.
Katanya, penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.
TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.
Kata kenyataan itu lagi, orang awam dinasihatkan sentiasa menjauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik, termasuk yang bersalut dengan penebat ditenggelami air.
“Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan,” katanya.
Katanya, selepas banjir surut, pengguna disaran mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, bagi memeriksa pendawaian dalam premis mereka yang dinaiki air.