Sentimen rakyat tak memihak parti pembangkang, kata Presiden SUPP

Sentimen rakyat tak memihak parti pembangkang, kata Presiden SUPP

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata orang ramai jelas menentang mereka yang tidak berkebolehan, memungkiri janji dan berbohong kepada rakyat.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian memenangi kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti selesa 5,393 undi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sentimen rakyat jelas tidak memihak kepada pembangkang di Sarawak, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian, yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) semalam.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata orang ramai, terutama dalam kalangan komuniti Cina jelas menentang mereka yang tidak berkebolehan, memungkiri janji dan berbohong kepada rakyat.

“Sekali lagi saya ucapkan kepada semua pengundi atas kepercayaan mereka kepada SUPP dan GPS. Bersama dengan Timbalan Presiden (SUPP) (Richard Riot), kami akan turut mewakili kaum bumiputera dan meneruskan amanah rakyat, walaupun di kerusi yang tidak kami menangi. Terima kasih kerana memberikan kami peluang ini.

“Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan, kerana rakyat meletakkan kepercayaan terhadap kita untuk tempoh lima tahun akan datang. Saya berjanji akan terus melaksanakan manifesto kami kerana politik adalah jangka panjang dan bukan berkaitan publisiti semata-mata,” katanya semasa berucap di hadapan penyokong GPS dan SUPP di Bilik Gerakan GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Dr Sim mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepada SUPP sehingga membolehkan beliau memenangi kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti selesa 5,393 undi.

Presiden SUPP itu memperoleh 7,827 undi manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen daripada DAP memperoleh 2,434 undi, Fong Pau Teck daripada Aspirasi (133) dan Chai Kueh Khun (756).

Fong dan Chai hilang wang deposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.