
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Simon Templer Lo Ak Tusa, menerusi Op Carilamat yang masuk hari kelima hari ini, tiada penemuan mangsa baharu dilakukan setakat pukul 8 pagi tadi.
“Pencarian hari ini diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian dianggarkan seluas 111 batu nautika persegi manakala helikopter AW139 Agensi Penguatkuasaan Maritim akan melaksanakan pencarian udara meliputi sektor carian seluas 76.50 batu nautika persegi.
“Misi pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh petugas daripada Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan juga polis meliputi Tanjung Siang hingga ke Sungai Musuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kekuatan pasukan penyelamat melibatkan seramai 61 petugas pelbagai agensi merangkumi pencarian udara, laut dan darat.
Dalam kejadian 4.30 pagi Rabu lalu, sebuah bot pancung yang membawa 50 rakyat Indonesia dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) karam akibat cuaca buruk.
Tragedi berlaku ketika bot pancung mahu mendarat di Tanjung Balau, Kota Tinggi selepas bertukar lokasi dari Kampung Sungai Tengah sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Sehingga kini, jumlah mangsa yang ditemui adalah seramai 34 orang iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat manakala 16 lagi disyaki masih hilang.