
Beliau berkata, semua mereka merupakan sebahagian daripada 35 individu yang berada di chalet berkenaan dan terperangkap akibat banjir lumpur pada 11.40 malam tadi.
“Semua (yang hilang) merupakan warganegara tempatan dengan dua lagi, masing-masing seorang dewasa lelaki dan wanita, namun setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, mangsa yang selamat termasuk lapan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan kesejukan setelah berada di luar chalet kerana tidak berani berada dalam chalet yang dibimbangi tidak selamat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebaik dimaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa yang terselamat pada 4.09 pagi sebelum operasi membawa keluar tamat pada 8.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya selepas kiraan mangsa dibuat, tiga mangsa tidak ditemui.
Operasi itu dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands yang dibantu BBP Gombak dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang.
Operasi mencari mangsa hilang hari ini membabitkan 22 pegawai dan anggota bomba serta tiga anjing pengesan, ditangguhkan pada 6.30 petang tadi, ekoran cuaca gelap dan akan bersambung esok.