Hujan lebat di Sibu tak halang pengundi tunai tanggungjawab

Hujan lebat di Sibu tak halang pengundi tunai tanggungjawab

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan membantu menyambut pengundi-pengundi yang tidak memiliki payung untuk ke tempat mengundi.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak membantu pengundi yang hadir dalam cuaca hujan lebat untuk masuk ke dewan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa. (Gambar Bernama)
SIBU:
Hujan lebat yang melanda Sibu pagi tadi tidak menghalang pengundi, termasuk Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Soon Koh untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Wong, calon PSB bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan tiba bersama isteri Pauline Leong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua pada 8.44 pagi dan selesai mengundi kira-kira 15 minit kemudian.

Turut mengundi di pusat sama ialah calon GPS bagi kerusi Bawang Assan Robert Lau Hui Yew yang tiba pada 9.55 pagi.

Sebelum itu, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian mula dibuka pada 7.30 pagi tadi, hujan lebat dan angin kuat yang melanda menyebabkan kanopi petugas kesihatan di sini hampir rebah, sekali gus memaksa mereka berpindah ke tempat berbumbung.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bawang Assan Suhaili Mohamed berkata petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah ditugaskan untuk membantu menyambut pengundi-pengundi yang tidak memiliki payung untuk ke tempat mengundi.

“Kita juga sudah menjangkakan hujan pada pagi ini sebab itu lebih 10 kanopi kita susun sebagai ‘bumbung’ dari laluan pagar utama ke bangunan berbumbung,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun pemerhatian mendapati cuaca semakin bertambah baik pada pukul 9.40 pagi dan semakin ramai pengundi mula tiba di pusat mengundi yang memiliki sembilan saluran mengundi itu.

Selain Wong dan Robert, persaingan merebut kerusi DUN Bawang Assan turut melibatkan calon DAP Amy Lau Bik Yin; Michelle Ling Shyan Mih (Parti Bumi Kenyalang) dan calon Bebas, Ricky Enteri.

Wong, 79, telah menjadi wakil rakyat bagi DUN Bawang Assan sejak 1981, sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRN ke-11 2016, beliau mempertahan kerusi itu sebagai calon langsung BN selepas menang dengan majoriti 4,131 undi.

Kerusi Bawang Assan mempunyai seramai 19,610 pengundi dengan nisbah 50:50 pengundi bumiputera dan bukan bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.