Badminton Kejohanan Dunia: Beregu Ee Yi-Yew Sin mara ke separuh akhir, Zii Jia tarik diri

Badminton Kejohanan Dunia: Beregu Ee Yi-Yew Sin mara ke separuh akhir, Zii Jia tarik diri

Ee Yi-Yew Sin menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo yang juga pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam tempoh satu jam lima minit.

Kemenangan itu adalah yang pertama gandingan Ee Yi-Yew Sin dalam empat pertembungan menentang Lee Yang-Chi Lin. (Gambar Twitter @BA_Malaysia)
PETALING JAYA:
Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mengekalkan rentak cemerlang apabila mara ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, sebentar tadi.

Kosmo melaporkan, Ee Yi-Yew Sin mempamerkan kebangkitan dramatik menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo yang juga pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 12-21, 21-17, 21-15 dalam tempoh satu jam lima minit.

Menariknya, ia adalah kemenangan pertama gandingan negara di ranking ke-12 dunia itu dalam empat pertembungan menentang Lee Yang-Chi Lin.

Lawan Ee Yi-Yew Sin di separuh akhir malam esok ialah pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan beregu senegara, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-18, 21-12.

Pingat gangsa sekurang-kurangnya tetap menjadi milik Ee Yi-Yew Sin seandainya tewas, namun berpeluang mencipta sejarah baharu jika berjaya melangkah ke pentas final.

Ini kerana masih belum ada wakil negara yang berjaya meraih pingat emas kejohanan dunia dalam semua peringkat kategori sejak edisi pertama di Malmo, Sweden pada 1977.

Dalam pada itu, jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada set ketiga sekali gus memberi laluan kepada lawannya dari Denmark, Anders Antonsen, mara ke separuh akhir.

Pada pertembungan itu, Ziie Jia menang set pertama 21-12 sebelum tewas 21-8 dan pada set ketiga, ketika itu kedudukan 1-11, dia menarik diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.