
Abang Johari yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini.
Turut hadir isteri Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri Abang Johari, Juma’ani Tuanku Bujang.
Hadir sama menyaksikan upacara itu ialah Awang Tengah Ali Hasan dan Douglas Uggah Embas, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dalam barisan Kabinet sebelum ini.
Ini merupakan kali kedua Abang Johari, yang hari ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN12, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Kali pertama adalah pada 13 Jan 2017, sebagai menggantikan Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Beliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS diketuai Abang Johari menang 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada PRN12 setakat pukul 8.45 malam ini.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata dengan keputusan itu, GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50% daripada jumlah kerusi dipertandingkan atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.