TMJ berkenaan penuhi hasrat Adam mahu pergi ke Legoland

TMJ berkenaan penuhi hasrat Adam mahu pergi ke Legoland

Mohd Adam Amsyar, 9, menghidap penyakit jantung terbalik yang amat jarang berlaku di negara ini.

Mohd Adam Amsyar, yang menderita ‘Mitral Valve Atresia’ atau kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku ada meluahkan hasrat terakhirnya, mahu berkunjung ke Taman Tema Legoland. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan menaja seorang kanak-kanak menderita penyakit jantung terbalik, yang meluahkan hasrat berkunjung ke Taman Tema Legoland, Johor Bahru.

Perkara itu dikongsi Tunku Ismail menerusi laman Twitter @HRHJohorII, hari ini, dengan memaparkan tangkap layar perbualan bersama wakil keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Saya akan minta laporan dan salurkan bantuan dengan segera. Salam Jumaat. Alhamdulillah jumpa nanti adik Adam,” ciap Tunku Ismail.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Adam Amsyar, 9, meluahkan hasrat terakhirnya untuk ke Taman Tema Legoland, yang terletak di Johor Bahru, bersama keluarganya.

“Saya ada beritahu ayah teringin ke Legoland di Johor Bahru sebelum akhir hayat saya, dan ayah berjanji bekerja lebih gigih bagi mencari wang untuk bawa saya.

“Kalau tak pergi Legoland pun tak apa, sebab bersama ayah pun dah gembirakan hati saya,” katanya.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, berkata penyakit anaknya, dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Bapa tunggal itu, berkata doktor pakar hospital awam yang merawat anaknya, memaklumkan penyakit itu bukan sahaja amat jarang berlaku, malah hanya tiga pesakit sahaja termasuk anak bongsunya, dikesan menderita penyakit berkenaan di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.