MPN syor pengambilan tenaga kerja asing diperluaskan, kata Muhyiddin

MPN syor pengambilan tenaga kerja asing diperluaskan, kata Muhyiddin

Ini untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula dapat beroperasi dalam pra pandemik Covid-19.

Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaannya pengambilan pekerja asing itu perlu disegerakan agar tak timbul kesulitan pihak industri yang dalam proses pemulihan.
KUALA LUMPUR:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan pengambilan tenaga kerja asing perlu diperluaskan untuk sektor ekonomi selain perladangan, kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula dapat beroperasi pada tahap sama seperti pra pandemik Covid-19.

“Pelaksanaannya perlu disegerakan agar tak timbul kesulitan pihak industri yang dalam proses pemulihan.

“Namun MPN menyarankan agar Majlis Tindakan Khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari penyelesaian untuk kurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing dalam masa panjang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Muhyiddin berkata syor itu adalah antara tiga syor yang dikemukakan MPN hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata dua lagi syor MPN adalah supaya Kementerian Kesihatan (KKM) memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan Covid-19 kendiri dan menggalakkan pengambilan suntikan dos penggalak sebagai langkah waspada dalam penularan Covid-19.

Katanya, ini kerana MPN berpandangan perlunya langkah proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron.

“Ini penting bagi mengimbangi kesihatan awam dan ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin berkata MPN juga berpandangan cadangan bantuan sektor PKS juga perlu lebih bersasar dan lebih mengutamakan sektor-sektor kritikal.

Katanya, dengan cabaran dihadapi pada tahun ini pasti ada sinar harapan dipenghujungnya.

“Proses pemulihan negara perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan diumumkan bawah Belanjawan 2022 dilaksanakan segera selaras dengan cekap dan berkesan.

“Dalam hak ini MPN akan terus sokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan tingkatkan daya tahan semua segmen sosio ekonomi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.