Kawal penggunaan telefon bimbit bukan penyelesaian buli, kata pengkritik

Kawal penggunaan telefon bimbit bukan penyelesaian buli, kata pengkritik

Pendekatan yang lebih sesuai adalah mengajar anak-anak dan ibu bapa tentang penggunaan Internet secara bertanggungjawab, kata seorang aktivis.

Pelajar MRSM dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini telah ditamatkan pengajian.
PETALING JAYA:
Ibu bapa yang menggesa agar akses kepada telefon bimbit disekat di sekolah susulan kes buli yang tular baru-baru ini tidak memahami isu sebenar yang dihadapi, kata pengkritik.

Minggu ini, rakaman video tular mengenai sekumpulan pelajar Tingkatan 1 yang bergilir-gilir menumbuk rakan sekelas mereka di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah di Perak kononnya selepas mangsa menegur salah seorang daripada mereka kerana menonton filem lucah di telefon bimbitnya.

Seramai 10 pelajar telah ditamatkan pengajian berhubung kejadian ini.

Semalam, Berita Harian memetik beberapa ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah berasrama penuh sebagai berkata, pihak pengurusan perlu mengehadkan akses pelajar kepada telefon bimbit.

Mereka mendakwa, ini akan mengurangkan peluang ia disalah guna untuk menonton atau berkongsi video lucah misalnya selain penggunaan media sosial berlebihan yang boleh mendorong ke arah kegiatan buli.

Aktivis hak kanak-kanak James Nayagam bagaimanapun berkata, mengawal penggunaan telefon bimbit seperti itu akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

“Kanak-kanak dan remaja membesar dengan telefon dan cadangan menghalang penggunaannya adalah cara berfikir gaya Jurassic,” katanya.

“Telefon dan internet bukan masalahnya. Menghalang penggunaannya hanya akan meresahkan anak-anak tanpa benar-benar menangani kegiatan buli.”

Beliau berkata, walaupun kegiatan buli siber dan manifestasi fizikalnya perlu dibimbangi, namun pendekatan yang lebih sesuai adalah mengajar anak-anak dan ibu bapa tentang penggunaan internet secara bertanggungjawab.

“Kita perlu tangani pegangan minda pembuli itu dan menangani isu di peringkat itu. Tiada gunanya merotan atau mengambil telefon mereka,” katanya.

Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim turut mengkritik gesaan sekatan penggunaan telefon.

“Jika tiada telefon bimbit dalam situasi di sekolah berasrama penuh itu dan ia tidak dirakam dan disiarkan, mangsa mungkin mati dan pembulinya akan terlepas,” katanya.

Profesor kriminologi P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia berkata, beliau melihat merit di sebalik langkah menghalang penggunaan telefon sebagai cara untuk mengurangkan kegiatan buli, namun tambahnya, ia tidak akan menangani punca masalah itu.

“Perlu ada had bagi anak-anak, sama ada tak benarkan guna telefon langsung atau kawal (tontonan) isi kandungan tertentu,” katanya.

“Isu buli siber adalah sangat nyata, begitu juga dengan risiko anak-anak menonton ‘prank’ yang mungkin bersifat ganas dan cuba menirunya.

“Jika dilihat pada kejadian tembakan di sekolah-sekolah Amerika Syarikat misalnya, ramai yang menjadi radikal disebabkan oleh forum internet dan seumpamanya. Jadi, wujud ancaman yang sangat nyata kepada anak-anak.

“Namun, apa yang lebih penting adalah pendidikan – mengajar mereka tentang etika dan integriti, apa yang betul dan salah.”

Beliau berkata, sekolah perlu menjalankan kelas khusus untuk mengajar nilai-nilai ini bagi membantu membendung gengsterisme, penyalahgunaan bahan terlarang serta kegiatan buli.

“(Dengan ini), bukan sahaja anak-anak akan diterapkan dengan nilai yang betul, mereka juga akan lebih cenderung untuk menegur dan melaporkan kejadian seperti buli apabila melihatnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.