Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID, kata PPDM

Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID, kata PPDM

Kementerian Kerja Raya sepatutnya memberi peluang kepada pengguna memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan termasuk TnGo dan Smart Tag.

Ketua Aktivis PPDM Kamarudin Hussain berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.
PETALING JAYA:
Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) menasihatkan Kementerian Kerja Raya (KKR) agar tidak “memaksa” pengguna lebuh raya bertol beralih kepada penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Ketuanya aktivisnya, Kamarudin Hussain berkata, KKR sepatutnya mengekalkan penggunaan TnGo dan Smart Tag agar dapat memberi peluang kepada pengguna memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan.

“Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli kad TnGo dan mesin Smart Tag?

“Adakah KKR tidak memperdulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.

Katanya, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong yang perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong.

“Jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (RnR) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani, bukannya membiarkan ia berlarutan.

Terdahulu, KKR memaklumkan transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan depan.

Bagaimanapun, kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.