Individu keluar PCS bimbang tiada jawatan dalam rombakan parti akan datang, kata Anifah

Individu keluar PCS bimbang tiada jawatan dalam rombakan parti akan datang, kata Anifah

Presiden PCS itu berkata, terdapat tuntutan daripada akar umbi agar kepimpinan parti melaksanakan rombakan itu bagi memperkukuh perjuangan parti itu untuk rakyat.

Anifah Aman berkata, ahli yang keluar parti terdiri daripada mereka yang bertanding dan hilang deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-16 Sabah dahulu dan sebelumnya. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Presidennya Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman menyifatkan sekumpulan pimpinan tertinggi yang keluar parti hari ini sebenarnya khuatir tidak terpilih menjawat jawatan penting apabila terdapat rombakan yang dijadualkan berlaku pada tempoh terdekat.

Anifah berkata, terdapat tuntutan daripada akar umbi agar kepimpinan parti melaksanakan rombakan itu bagi memperkukuh perjuangan PCS untuk rakyat.

Bagaimanapun, bekas Menteri Luar itu menerima keputusan pemimpin tersebut untuk berhenti, dengan mengatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada politik.

“Sebagai ahli politik yang matang, kita tidak boleh halang mereka untuk meninggalkan parti dan adalah hak mereka untuk membawa haluan masing-masing di kancah politik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang memilih untuk keluar parti, dan berharap mereka terus berusaha memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Menurut sumber parti, mereka yang keluar dikatakan “goyang” dengan cakap-cakap mengenai rombakan dalaman yang kemudiannya mempengaruhi keputusan mereka untuk berhenti.

Terdahulu, Naib Presiden PCS Ewon Ebin, yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN), berkata tindakan keluar parti berpunca daripada ketiadaan halatuju jelas parti itu.

Katanya, keputusan itu juga diambil susulan tekanan daripada ahli termasuk akar umbi, yang turut mempersoal perkara sama.

“Keputusan meletakkan jawatan dibuat dengan berat hati kerana kami semua sayangkan PCS. Namun, kami perlu bergerak ke depan,” kata Ahli Majlis Tertinggi itu dalam kenyataan.

“PCS juga mengalami kekalahan terus pada pilihan raya negeri Sabah, tahun lalu. Sejak itu, tiada komunikasi atau mesyuarat parti antara Ahli Majlis Tertinggi, jawatankuasa bahagian, sayap Pemuda dan Wanita.”

Antara Ahli Majlis Tertinggi yang turut meletakkan jawatan membabitkan Amru Abdul Kadir, yang juga Naib Presiden dilantik, Kalakau Untol, Herman Tiongsoh, Norbert Chin Chuan Siong dan Denis Gimpah.

Anifah bagaimanapun berkata, ahli yang keluar parti terdiri daripada mereka yang bertanding dan hilang deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-16 Sabah dahulu dan sebelumnya.

“Namun, saya juga tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh dalam terus memperjuangkan hak-hak Sabah terutamanya berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat negeri Sabah,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan bahawa penghijrahan besar-besaran akan menamatkan PCS, sebaliknya berkata rakyat Sabah kini lebih menerima parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.