DUN Perak sebulat suara lulus belanjawan negeri

DUN Perak sebulat suara lulus belanjawan negeri

Belanjawan defisit itu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion.

Peruntukan Belanjawan 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta. (Gambar Bernama)
IPOH:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini, sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 Perak, selepas dibentangkan Menteri Besar Saarani Mohamad, pada Jumaat lalu.

Belanjawan defisit itu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion di bawah tema yang sama pada tahun lalu iaitu Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif, namun mengalami penyusutan RM1.215 bilion berbanding tahun lalu.

Ia diluluskan setelah dibahaskan oleh 43 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing 20 daripada blok kerajaan dan 23 lagi daripada pembangkang.

Peruntukan Belanjawan 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.

Saarani (BN-Kota Tampan) ketika menggulung perbahasan turut menyentuh mengenai status penggunaan kenderaan elektrik di pulau peranginan, Pulau Pangkor dan kawasan tumpuan pelancongan di Perak.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri masih memperhalusi pelaksanaan projek tersebut yang mengambil kira komponen teknikal, masalah seperti pemilikan dan pengurusan aset, lesen permit, penguatkuasaan dasar kemasukan dan penyediaan fasiliti sebelum ia boleh dilaksanakan.

Saarani turut membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021 dibaca kali kedua yang memperuntukkan penambahbaikan peruntukan sedia ada dan menambah beberapa peruntukan baharu bagi memperkemaskan perjalanan dan pengurusan Mahkamah Syariah Perak.

Beliau berkata, RUU yang dicadangkan itu mengandungi penambahbaikan 13 peruntukan sedia ada dan lima peruntukan baharu yang antara lain bertujuan menambah baik peruntukan sedia ada khususnya berkenaan syarat pelantikan hakim di hierarki tertinggi Mahkamah Syariah, bidang kuasa, perjalanan kuasa serta punca kuasa bagi penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dan perkhidmatan elektronik di Mahkamah Syariah.

Ia sekaligus, memastikan pelaksanaan fungsi kehakiman Syariah dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan selaras dengan perkembangan teknologi dan perubahan semasa.

Persidangan bersambung Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.