
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, meskipun kerajaan telah menetapkan garis panduan mengenai perkara itu, namun ia terpulang kepada kerajaan negeri untuk menentukannya.
“Hal perkahwinan atau umur perkahwinan ini ialah bidang kuasa kerajaan negeri, iaitu kita ada ‘stakeholder’ masing-masing. Itu adalah merupakan bidang kuasa mereka, maka perkara ini perkara yang kita hormat.
“Setakat hari ini kita tidaklah mengatakan bahawa perlu kita larang terus dan tidak juga perlu kita ketat terus. Maknanya sebab tu kita perkenalkan, kita kenakan SOP yang ketat bagi memastikan tidak berlakunya kezaliman antara dua pihak tadi,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa beberapa negeri masih tidak menjelaskan pendirian sehingga hari ini untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18.
Dalam perkembangan sama Idris berkata, pada 7 Ogos 2018, mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan bahawa sewajarnya perkahwinan di bawah umur mengikut undang-undang hanya dibenarkan bagi kes-kes tertentu sahaja setelah menepati syarat yang ketat dan diperakui oleh mahkamah.
Katanya, kerajaan juga mengambil langkah meneliti dan mengkaji cadangan supaya menaikkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 kepada 18 tahun.
Tambah beliau, ia termasuk membentangkan cadangan tersebut dalam pelbagai forum yang melibatkan negeri dan berdasarkan maklum balas serta pandangan diterima, kebanyakan negeri secara dasarnya bersetuju mengekalkan had umur sedia ada sebagaimana termaktub dalam undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing.
“Setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan daripada negeri- negeri, kerajaan, melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah JAKIM pada 22 Sept 2021 berpendirian bahawa tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam.
“Dalam masa yang sama, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengambil langkah untuk memastikan pihak yang memohon untuk berkahwin di bawah umur melalui proses penilaian yang ketat untuk memastikan kepentingan semua pihak yang terlibat dipelihara,” katanya.