Mesej PBK mengenai kemerdekaan Sarawak dapat sambutan, kata ketua parti

Mesej PBK mengenai kemerdekaan Sarawak dapat sambutan, kata ketua parti

Calon pilihan raya PBK telah masuk jauh ke kawasan pedalaman untuk memaklumkan rakyat mengenai rancangannya memimpin Sarawak ke arah kemerdekaan, kata Voon Lee Shan.

Penduduk luar bandar akan berasa sangat marah dengan kawalan “Malaya” ke atas sumber minyak dan gas Sarawak, menurut Voon Lee Shan.
KUCHING:
Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan mendakwa desakan parti itu supaya Sarawak mendapat kemerdekaan daripada Malaysia mula mendapat sambutan di kawasan luar bandar, di mana kesedaran rakyat berhubung hak mereka dahulunya rendah.

Voon berkata, mesej kemerdekaan sebelum ini gagal sampai kepada masyarakat luar bandar di mana liputan internet lemah.

“Malah surat khabar tidak sampai kepada mereka,” katanya kepada FMT.

“Saya rasa itulah sebabnya orang ramai tidak begitu sedar tentang kemerdekaan Sarawak.

“Namun, calon pilihan raya kami telah masuk jauh ke kawasan pedalaman dan kampung-kampung untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai rancangan PBK untuk memimpin Sarawak ke arah kemerdekaan. Mereka kini sedar bahawa kita ada hak untuk merdeka.

“Idea itu mendapat sambutan meluas. Mereka tidak pernah mendengar perkara seperti itu sebelum ini tetapi mata mereka kini terbuka.”

Voon, yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang pada 2006 berkata, penduduk luar bandar akan berasa sangat marah dengan kawalan “Malaya” ke atas sumber minyak dan gas Sarawak.

Beliau mengkritik pindaan perlembagaan baru-baru ini yang memberikan Sabah dan Sarawak taraf yang sama dengan Semenanjung Malaysia sebagai “tidak mencukupi” dengan berkata, Sarawak perlu diberi bahagian kerusi lebih besar di Dewan Rakyat.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai 31 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Voon berkata, adalah lebih baik untuk Sarawak melakar laluannya sendiri dengan menjadi merdeka selain menambah bahawa tiada keperluan bagi referendum diadakan jika PBK membentuk kerajaan negeri.

“Ini bermakna rakyat menyokong kami untuk berada dalam kerajaan dan memberi kami kuasa. Dengan kuasa itu, kami akan berunding dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan kemerdekaan,” katanya.

Beliau juga berkata, kekalahan PBK tidak akan menjadi pengakhirannya dengan menegaskan bahawa perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bagi Sarawak berjalan sejak 1960-an.

Voon, bekas anggota polis yang kini peguam berkata, usaha PBK mencapai kemerdekaan untuk Sarawak mestilah melalui cara yang sah dan aman seperti perjuangan Mahatma Gandhi untuk mendapatkan kemerdekaan bagi India.

“Saya harap dapat lihat Sarawak merdeka dalam kehidupan saya, itulah impian saya.

“Proses untuk kita bentuk kerajaan tidak akan panjang. Sebuah negara boleh dilahirkan dalam masa beberapa hari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.