
Arifiriazul Paijo, calon tunggal parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, memberitahu FMT, tiada sebab untuk membangkitkan isu agama atau perkauman kerana asimilasi silang yang sudah baik antara kepelbagaian komuniti di negeri itu tidak seperti di Semenanjung Malaysia.
Beliau mengulas luahan kebimbangan orang bukan Islam di negeri itu terhadap perkembangan di negeri Kedah pimpinan PAS, di mana kedai nombor ekor 4D diharamkan dan sekatan terhadap penjualan arak dikenakan.
Arifiriazul yang bertanding di Beting Maro itu berkata, isu membabitkan taraf hidup lebih penting kepada rakyat negeri itu.
Beliau juga berkata, PAS bukan lagi asing di kawasan Dewan UNdangan Negeri (DUN) Beting Maro, selepas parti itu wujud di situ 20 tahun lalu.
“Kita lihat penerimaan dan sokongan kepada PAS telah berkembang setiap tahun,” katanya. “Kita yakin kita boleh buat lebih baik kali ini.”
Pada PRN lalu, parti itu kalah dengan majoriti 1,707 undi apabila populariti Ketua Menteri ketika itu, Adenan Satem, menyaksikan Barisan Nasional Sarawak memenangi 72 daripada keseluruhan 82 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, PAS secara konsisten meningkatkan undinya di Beting Maro dalam setiap pilihan raya sejak pertama kali bertanding di situ pada 2001. Orang Melayu terdiri daripada 92% daripada 11,000 pengundi di kawasan itu. Bakinya adalah pengundi Iban dan Cina.
Arifiriazul berkata, beliau percaya pertembungan lima penjuru kali ini akan menguntungkan PAS kerana ia boleh mengharapkan penyokong terasnya. Salah satu pesaing parti itu dalam PRN kali ini ialah Gabungan Parti Sarawak, rakan gabungannya di peringkat persekutuan, tetapi Arifiriazul berkata, penduduk di kawasan itu mahu PAS bertanding.
“Kami menerima maklum balas daripada rakyat bahawa pengundi mahukan perubahan. Jadi kami menawarkan diri kami sebagai alternatif yang berdaya maju. Terdapat banyak isu di sini yang menjejaskan rakyat, termasuk kekurangan prasarana asas di kawasan tertentu.”
Ini mengakibatkan masalah saliran, banjir yang kerap dan kekurangan bekalan air bersih.
Beliau juga berkata, ramai penduduk Beting Maro adalah petani dan nelayan yang bergelut untuk terus hidup.
PAS menjalankan program kebajikan di kawasan itu termasuk menubuhkan bank makanan dan mengagihkan pek makanan. Projek baik pulih prasarana seperti menggantikan laluan pejalan kaki kayu dengan konkrit turut dijalankan.
“Jika kami menang, kami akan tingkatkan usaha kami,” kata Arifiriazul selain menambah bahawa beliau akan bekerjasama rapat dengan kementerian kerajaan persekutuan yang diterajui oleh wakil PAS.