Bot karam: Operasi mencari dan menyelamat di pantai diteruskan

Bot karam: Operasi mencari dan menyelamat di pantai diteruskan

17 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula pada pukul 7 malam tadi.

(Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, diteruskan malam ini, meliputi pencarian di kawasan pesisir pantai Tanjung Siang ke Tanjung Balau.

Menurut Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 17 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula pada pukul 7 malam tadi.

“Pencarian pantai ini akan dilakukan berterusan selagi operasi carilamat (SAR) tidak ditamatkan,” kata PHC.

Bagaimanapun operasi SAR di laut menggunakan aset pada malam ini ditangguhkan atas faktor kesukaran penglihatan.

Terdahulu, tujuh mayat mangsa bot karam ditemukan di Tanjung Balau hari ini, menjadikan 19 mayat telah dijumpai setakat ini, manakala 17 mangsa lagi dipercayai masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.