2 ditahan guna duit palsu beli kucing Parsi

2 ditahan guna duit palsu beli kucing Parsi

Mangsa menyedari kejadian itu ketika mahu membeli kucing lain di Johor selepas peniaga enggan menerima wang yang didapati palsu.

Suspek membeli dua kucing berharga RM2,600 daripada mangsa menerusi Facebook sebelum mereka bertemu di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, 11 Dis lalu. (Gambar Reuters)
ALOR GAJAH:
Seorang lelaki dan rakan wanitanya ditahan selepas dipercayai terlibat urusan jual beli kucing baka Parsi berharga RM2,600 menggunakan wang palsu dalam serbuan di Simpang Pulai, Ipoh, Perak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, suspek berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira 5 petang, susulan laporan daripada seorang pesara guru yang mendakwa menerima wang palsu daripada pasangan terbabit.

“Mangsa membuat urusan jual beli kucing dengan suspek melalui Facebook yang bersetuju membeli dua kucing berharga RM2,600 dan membuat pembayaran deposit RM100 ke dalam akaun pengadu.

“Kedua-dua pihak bersetuju berjumpa di Plaza Tol Ayer Keroh pada 11 Dis, 1.30 pagi, dan mangsa menyerahkan dua kucing bersama sangkar, manakala suspek kemudian menyerahkan wang tunai RM2,500 kepada pengadu,” katanya menurut laporan Bernama.

Arshad berkata, keesokkan harinya pengadu menggunakan wang itu untuk membeli kucing lain di Skudai, Johor, namun ketika urusan pembayaran, mangsa mengesyaki wang berkenaan palsu dan penjual kucing tersebut juga enggan menerimanya.

“Mangsa kemudian membuat laporan dan menyerahkan wang palsu itu kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas kereta Proton Wira Aeroback, dua kucing baka Parsi dan mesin cetak berwarna.

“Saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek, iaitu lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat manakala rakan wanitanya tidak bekerja didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan lanjut mendapati suspek wanita mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan status masih dikehendaki serta bawah perintah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Sspek terbabit direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 20 Dis dan kes disiasat bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.