Zahidi bidas Zafrul, Saifuddin bincang isu DNB secara rahsia

Zahidi bidas Zafrul, Saifuddin bincang isu DNB secara rahsia

Zahidi kecewa apabila Saifuddin dan Zafrul dikatakan telah berbincang beberapa isu DNB sesama mereka tanpa melibatkannya

Zahidi Zainul Abidin berkata, beliau kecewa apabila Saifuddin dan Zafrul dikatakan telah berbincang beberapa isu mengenai DNB sesama mereka tanpa melibatkannya.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin membidas bekas menterinya, Saifuddin Abdullah dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana membincangkan Digital Nasional Berhad (DNB) dan rangkaian liputan 5G negara secara rahsia.

Zahidi berkata, berkata beliau kecewa apabila Saifuddin dan Zafrul dikatakan telah berbincang beberapa isu mengenai DNB sesama mereka tanpa melibatkannya.

“Cuma saya buat kenyataan ini, agak kecewa sikit. Menteri yang terdahulu Saifuddin telah menyatakan mereka telah berbincang dengan Kementerian Kewangan.

“Jadi menteri dengan menteri berbincang. Antara Menteri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dahulu dan Menteri Kewangan berbincang dan melaksanakan projek DNB ini yang melibatkan hampir lebih kurang RM20 bilion tanpa berbincang dengan pihak bawah.

“Timbalan pun tak tau. Dan begitu juga, di bawah pun tak tau,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Zahidi berkata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek turut hadir pada mesyuarat bersama menteri-menteri berkenaan,.

Bagaimanapun Zahidi berkata, pegawai SKMM yang lain juga tidak dimaklumkan mengenai butiran mesyuarat itu dan mendakwa Fadhlullah tidak menghadiri sebarang mesyuarat dengannya sejak dia mula menjawab soalan di Parlimen.

Zahidi berkata, beliau juga tidak tahu mengapa Saifuddin tidak memaklumkannya mengenai perbincangan dengan MOF tetapi menyindir mungkin kerana menteri itu dahulunya adalah ahli PKR dan dirinya adalah dari Umno.

“Jadi bila tanya pegawai bawahan, mereka tidak tahu mengapa monopoli, mengapa Ericsson dan sebagainya.

“Jadi saya harap cuma di sini, di masa depan, menteri ini, kalau berbincang dengan menteri, maklumkan kepada timbalan dan maklum kepada rakyat.

“Sebab kita nak telus. Projek ini projek rakyat. Melibatkan RM 20 bilion. Dan di sini juga ada monopoli, jadi kita nak tahu kenapa Ericsson dan DNB monopoli,” katanya.

Zahidi menambah bahawa kerahsiaan dalam perkara itu akan mengundang syak wasangka rakyat mempersoalkan kepentingan peribadi tertentu.

“Jadi kalau boleh jangan berahsia. Kalau nak berahsia, menteri yang mesti jawab di Parlimen, bukan saya.

“Kita kena telus, jadi siapa pun, saya harap ia bukan perbincangan dua orang sahaja, dengan Saifuddin bercakap dengan Zafrul, kedua-duanya kata okay, okay, okay dan selepas itu, projek itu dilaksanakan,” katanya.

Sebelum itu di Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa memaklumkan bahawa anggaran kos projek itu adalah kira-kira RM12.5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata kementerian perlu memberikan “jawapan yang pasti” untuk mengelak ia menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB selain mempersoalkan mengapa Kementerian Kewangan takut untuk dedahkan maklumat kos sebenar 5G.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.