
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu berkata, tindakannya itu bukan serangan peribadi, sebaliknya beliau ingin tahu dasar dan tindakan yang sepatutnya diambil Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri.
“Tiada keperluan untuk saya bawa ayam, sekiranya Exco berkenaan sudah mengambil tindakan atau usaha-usaha ke arah mengurangkan harga barang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, Yang Dipertua DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat dan berkata perkara itu tidak sewajarnya berulang lagi.
Beliau meminta pihak keselamatan menjalankan pemeriksaan lebih rapi terhadap barang yang dibawa ke dalam DUN, termasuk beg dan bungkusan.
“Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat hari ini.
Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022, dengan mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya kira-kira 12.23 tengah hari.
Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan, malah ada di antara ADUN yang mencelah dengan berkata “ayam itu letaklah…balik buat rendang”, selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) mempersoalkan sama ada rakyat sedia menghadapi harga mentah ayam, terutamanya apabila musim perayaan.