Wanita didakwa dera, bunuh anak sendiri

Wanita didakwa dera, bunuh anak sendiri

Teman lelaki tertuduh turut didakwa bersamanya bagi kesalahan mendera mangsa berusia lima tahun itu, antara April hingga 3 Disember lalu.

Bekas pekerja pembersihan R. Kaleswary, 35, (kanan) didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh dan mendera anaknya yang berusia lima tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dakwaan membunuh anak lelakinya berusia lima tahun pada 3 Dis lalu.

R Kaleswary, 35, yang juga bekas pekerja pembersihan didakwa sengaja mengakibatkan kematian Samsoon Paul, lima tahun, antara 9 pagi hingga 12.20 tengah hari di rumah kedai di Taman Tan Sri Yaakub di Iskandar Puteri di sini.

Harian Metro melaporkan, Kaleswary didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Nurmadiana Mamat menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Kaleswary dan teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa menganiaya Samsoon Paul hingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, antara April hingga 3 Disember 2021.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) Akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kaleswary mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas memohon dibicarakan.

Pendakwaan di depan Hakim Fatimah Zahari dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Raveena dan Chai Ing Hien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.

Kaleswary tidak dijatuhi hukuman berikutan mahkamah masih belum memperolehi laporan bedah siasat selain tidak dibenarkan diikat jamin berikutan turut menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muhammad Iskandar dibenarkan diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin serta diperintahkan melapor diri di balai polis setiap bulan. Kesnya akan disebut semula pada 27 Januari.

Pada 4 Disember lalu media melaporkan seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan kecederaan di mulut serta lebam di seluruh anggota badan. Mangsa dibawa oleh ibu kandungnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.