Pemancing lemas bot terbalik dipukul ombak

Pemancing lemas bot terbalik dipukul ombak

Lima lagi rakan mangsa terselamat dalam kejadian di perairan Tanjung Dawai, tengah hari ini.

Kejadian berlaku ketika keenam-enam lelaki itu berlepas dari Jeti Teluk Bayu, Batu Lintang, Tikam Batu menuju ke Tuas untuk memancing. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hasrat enam lelaki keluar memancing tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka lemas selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah di sini, tengah hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa yang lemas ialah Muhammad Ridhwan Mokhtar, 38, berasal dari Gurun sementara rakannya, Hafizul Ajis Samsudin, 31, cedera dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata, tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, serta tiga lagi pemancing, Mohd Firdaus Zainal, 36, Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19 dan Zulkifli Ahmad, 45, terselamat dan tidak cedera.

Beliau berkata, enam lelaki tersebut berlepas dari Jeti Teluk Bayu, Batu Lintang, Tikam Batu dekat sini, pada jam 10 pagi menuju ke Tuas kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak untuk memancing.

“Sebaik tiba di lokasi, bot jenis fiber yang dinaiki dipukul ombak setinggi dua meter menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut.

“Tekong bot bertindak menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meminta bantuan sebelum mereka tiba ke lokasi bersama empat kru untuk menyelamatkan mangsa,” katanya menurut laporan Bernama.

Katanya, mereka yang cedera kemudian dibawa oleh bot lain sebelum dihantar ke HSAH oleh orang awam.

“Jenazah Muhammad Ridhwan dibawa ke Jeti Tanjung Dawai oleh APMM sebelum dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.