Lelaki tanggung malu, azab sejam kemaluan ‘tersekat’ soket paip

Lelaki tanggung malu, azab sejam kemaluan ‘tersekat’ soket paip

Bomba bergegas ke Hospital Lawas untuk khidmat khas memotong serta mengeluarkan soket paip itu daripada kemaluan mangsa yang berusia 43 tahun.

Bomba berkata selepas berusaha hampir satu jam, soket paip itu berjaya dipotong serta dikeluarkan daripada kemaluan mangsa. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Bukan saja menanggung malu malah seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama sejam apabila kemaluannya tersekat pada soket paip PVC dalam kejadian di Lawas, Sarawak, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada petugas Hospital Lawas berhubung insiden itu pada 7 pagi bagi khidmat khas memotong serta mengeluarkan soket paip PVC itu daripada kemaluan mangsa berusia 43 tahun.

“Sebaik tiba di Hospital Lawas, kami dapati seorang lelaki berada dalam kesakitan akibat soket paip yang terlekat pada kemaluannya.

“Berikutan itu, kami terpaksa menggunakan alat pemotong khas bagi memotong soket paip berkenaan yang tidak dapat ditanggalkan daripada kemaluan mangsa.

“Selepas berusaha hampir satu jam, soket paip itu berjaya dipotong serta dikeluarkan daripada kemaluan mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan motif perbuatan itu tetapi mangsa dikatakan memasukkan kemaluan ke dalam soket paip berkenaan dan tidak dapat ditanggalkan selepas dia berbuat demikian.

Susulan langkah berhati-hati anggota bomba sepanjang menjalankan tugas memotong soket paip berkenaan, lelaki itu terselamat daripada kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.