
Beliau berkata, KPI 100 hari itu bagi memastikan setiap kementerian mempunyai hala tuju jangka pendek, sederhana dan panjang yang jelas.
“KPI juga adalah untuk memastikan mereka (menteri) bekerja keras,” katanya di Dewan Rakyat sambil menambah mereka dinilai berdasarkan sasaran yang ditetapkan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, prestasi menteri ditambah sasaran yang ditetapkan Jemaah Menteri berjumlah 75% daripada penilaian itu, dengan baki 25% membabitkan tanggapan umum.
Tinjauan umum itu dilakukan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) ke atas 190,914 responden mulai 1 hingga 15 Nov.
Latiff menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mendakwa prestasi keseluruhan 100 hari kerajaan yang mencapai sekitar 90% adalah terlalu tinggi sedangkan masalah kos sara hidup rakyat belum ditangani.
Pada 9 Dis lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata prestasi keseluruhan Jemaah Menteri bagi tempoh 100 hari pentadbiran yang mencapai sekitar 90% kejayaan bukan alasan untuk mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk barisan Kabinet terus bekerja bersama rakyat.
Latiff berkata, KPI 100 hari itu bukan penamat untuk meneruskan usaha kerajaan.
“Cuma saya rasa kos sara hidup itu, dia melibatkan pelbagai menteri melibatkan rentas kementerian. Maka, ia tak masuk dalam 100 hari itu dan perlu dinyatakan dalam dewan ini bahawa 100 hari itu bukanlah titiknya, itu koma sahaja.
“Ada banyak lagi perkara dipenuhi oleh kementerian dan menteri bagi memastikan perkara pokok dapat dilaksanakan sepanjang sewaktu Ahli Parlimen Bera (Ismail) jadi Perdana Menteri,” katanya.