Benarkan saingan bagi khidmat ujian Covid-19 di lapangan terbang, kata MMA

Benarkan saingan bagi khidmat ujian Covid-19 di lapangan terbang, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, kerajaan perlu membenarkan saingan yang akan mengurangkan harga dan meningkatkan perkhidmatan ditawarkan.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, bayaran tinggi untuk ujian saringan di lapangan terbang tidak wajar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, ujian saringan Covid-19 di lapangan terbang tidak patut membabitkan sebarang bentuk monopoli.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata kerajaan perlu membenarkan saingan yang akan mengurangkan harga dan meningkatkan perkhidmatan ditawarkan.

“Kami menentang sebarang bentuk monopoli dalam perkhidmatan ujian saringan yang disediakan. Ia amalan tidak sihat kerana pihak yang akhirnya menderita ialah pengguna perlu membayar kos ujian pada harga ditentukan dan dikawal sebelah pihak,” katanya kepada FMT.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengadu kos tinggi ujian saringan Covid-19 untuk pengembara tidak akan menggalakkan pelancong datang ke negara ini.

Dr Koh Kar Chai.

Sumber yang enggan dinamakan bertanya kenapa perkhidmatan ujian saringan Covid-19 di lapan kemudahan KLIA dan klia2 dikendalikan syarikat penjagaan kesihatan swasta, yang merupakan satu bentuk monopoli.

Sumber itu turut mempersoalkan kenaikan harga “luar biasa” ujian RT-PCR yang wajib bagi semua pengembara ke Malaysia berbanding caj lebih rendah dikenakan negara lain.

Koh berkata, tidak wajar mengenakan bayaran tinggi bagi ujian itu hanya kerana ia diwajibkan bagi setiap pengembara ke negara ini.

“Kos semasa ujian saringan di lapangan terbang kita tentu boleh dikurangkan lagi, walaupun selepas mengambil kira kos tinggi membabitkan penyediaan kemudahan itu di lapangan terbang.”

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mencadangkan kerajaan menggunakan RTK-Ag selepas varian Omicron tidak lagi menjadi ancaman.

Malaysia kekal antara negara yang masih mewajibkan sehingga tiga ujian RT-PCR dilakukan sebelum pengembara dibenarkan memasuki negara ini. Singapura dan Filipina sudah membenarkan ujian RTK-Ag digunakan, tetapi mereka kembali kepada ujian RT-PCR akibat penularan varian Omicron.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.