2 menteri, 2 timbalan isytihar akaun luar pesisir kepada SPRM

2 menteri, 2 timbalan isytihar akaun luar pesisir kepada SPRM

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz pada Oktober berkata sesiapa sahaja boleh membuka akaun luar pesisir di bawah seliaan BNM.

(Dari kiri) Tengku Zafrul Aziz, Radzi Jidin, Edmund Santhara dan Lim Ban Hong telah mengisytiharkan akaun luar pesisir mereka kepada SPRM.
PETALING JAYA:
Dua menteri dan dua timbalan menteri telah mengisytiharkan akaun luar pesisir mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mereka adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pendidikan Radzi Jidin, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Edmund Santhara serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong.

Dalam jawapan bertulis kepada Teo Nie Ching (PH-Kulai) di Parlimen semalam, Wan Junaidi berkata mereka mengisytiharkan akaun luar pesisir kepada SPRM selaras keperluan Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen 2018.

Isu akaun luar pesisir menjadi perdebatan hangat susulan pendedahan dalam Kertas Pandora Oktober lalu, yang menamakan beberapa ahli perniagaan dan ahli politik tempatan mempunyai akaun luar pesisir.

Bagaimanapun, Zafrul pada bulan sama memaklumkan di Dewan Rakyat, sesiapa sahaja boleh membuka akaun dengan bank berlesen, termasuk akaun luar pesisir.

Katanya, mereka perlu lulus proses usaha wajar pelanggan seperti disyaratkan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurutnya, ketika ini sektor kewangan Malaysia diselia Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.