Skandal tanah LGM masih dalam siasatan, kata timbalan menteri

Skandal tanah LGM masih dalam siasatan, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II berkata tiada sebarang perjanjian pajakan atau penjualan tanah dimuktamad seperti dilapor sebelum ini.

Wee berkata tiada sebarang perjanjian pajakan atau penjualan tanah dimuktamadkan melibatkan Lot 20913 dan Lot 20012 di Jalan Ampang seperti yang dilaporkan sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Skandal tanah membabitkan perbadanan milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) iaitu, LGM Properties Corporation (LGMPC) ketika di bawah pentadbiran Menteri PAS Mohd Khairuddin Aman Razali sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Wee Jeck Seng.

Ketika menjawab soalan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), Wee menegaskan tiada sebarang perjanjian pajakan atau penjualan tanah dimuktamadkan melibatkan Lot 20913 dan Lot 20012 di Jalan Ampang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Pajakan tanah bagi Lot 20913 tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak dapat ditandatangani kerana tiada persetujuan penerimaan daripada kedua-dua belah pihak antara kerajaan dan syarikat Al Noor Foundation.

“SPRM telah menjalankan siasatan dan ketika ini kita masih tunggu hasil siasatan SPRM, jadi tiada tandatangan, tiada kejutan daripada apa-apa sekali pun, proses itu masih dalam siasatan,” katanya di Dewan Rakyat.

Wee kemudian menjelaskan prosedur pajakan tanah dibuat secara tender terbuka menerusi sebuah akhbar tempatan dan pada 30 Nov tahun lepas, LGM menerima tawaran daripada enam syarikat menerusi penilaian jawatankuasa teknikal dan kewangan.

“Dan tawaran terbaik yang diterima adalah daripada Al Noor Foundation dari Turki, bagaimanapun tawaran pajakan ini tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak ditangani,” katanya.

Mahfuz kemudian bertanya sama ada perjanjian itu tidak dimuktamadkan susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris sebagai pengerusi LGM ketika itu.

Wee kemudian menjelaskan proses pajakan dan penjualan tanah milik LGM sudah dihantar ke pejabat Jabatan Perdana Menteri untuk proses kelulusan dan terdapat pandangan supaya ia dikaji semula memandangkan tanah itu sebagai status tapak warisan.

Pada Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis, 6 Jan dan 11 Mac yang didakwa berkait tanah dimiliki LGM dan penglibatan Khairuddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu, dalam skandal berkenaan.

Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 sekaki.

LGM kemudian menegaskan bahawa belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Skandal berkenaan semakin hangat apabila Nazlan ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi LGM mulai 14 April tanpa sebarang makluman rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.