
Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, yang diwakili pengarahnya Yong Chee Keong, 40; pengurus stor Chong Kim Kuang, 48, dan akauntan Ng Yee Xin, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap ke atas pengarah syarikat berkenaan, Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas.
Keempat-empat tertuduh, masing-masing menghadapi empat pertuduhan.
Mereka didakwa menerima wang hasil pengubahan haram sebanyak empat kali berjumlah RM13,278,625.27 daripada sebuah akaun semasa milik LY Frozen dari 31 Okt 2018 hingga 31 Dis 2020 di dua cawangan bank berbeza di Senai, Kulai dan Taman Molek, dekat sini.
Mereka dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama dengan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan dan Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Zamri Idrus dan Saifuzaman Ab Rahman yang mewakili LY Frozen, Chong dan Ng, memohon agar mahkamah menggunakan pakai wang jaminan sebelum ini untuk Chong dan LY Frozen, memandangkan mereka telah membayar RM660,000 bagi pertuduhan sebelum ini, selain mengurangkan wang jaminan Ng memandangkan kesemuanya tidak lagi bekerja.
Fatimah kemudian menetapkan wang jaminan LY Frozen dan Chong masing-masing sebanyak RM250,000 tetapi mengguna pakai wang jaminan yang telah dibayar untuk kes terdahulu, sementara Ng diarahkan membayar RM150,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula esok.
Ini merupakan kali ketiga LY Frozen Food, Chong, Yong dan Tan dihadapkan ke mahkamah di sini, setelah kesemuanya didakwa pada Februari dan April tahun ini, berkaitan kes kartel daging.
Pada 2 Dis tahun lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kewujudan sebuah kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara, yang kemudiannya dibungkus semula menggunakan logo halal sebelum dijual di pasaran tempatan.
Kegiatan kartel itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini, membabitkan rampasan kira-kira RM6.47 juta.